21 February 2009

PIALA FA : Kedah vs My Team 1st Game, 2nd Round

Kemenangan 3 perlawanan berturut-turut yang dicapai oleh Sang Kenari sedikit sebanyak menyembuhkan kedukaan para peminat di atas deretan kekalahan yang dialami sebelum ini. Kemenangan tersebut biarpun dicapai dalam keadaan yang amat payah tetapi kelihatan amat bermakna.

Jika sebelum ini Hijau Kuning berada di kelompok dasar liga, kini Azrai Khor boleh menarik nafas lega kerana mampu melonjakkan skuad bimbingannya ke kedudukan pertengahan pula.

Walaupun begitu, sedikit sebanyak saya merasa amat bersimpati dengan apa yang dialami oleh Azrai. Betapa tidak, mutu persembahan Hijau Kuning masakini tidaklah seperti dahulu, longgar di sana sini.

Kepincangan itu ditambah pula oleh aksi longlai pemain-pemain import tempatan. Mereka yang dipancing dengan harapan besar ternyata masih gagal untuk memberikan sumbangan besar, sebagaimana yang diharap-harapkan.

Lebih buruk lagi, ada di kalangan mereka (pemain import tempatan) yang sudah sekian lama diberi peluang untuk menyarung jersi Hijau Kuning, masih tetap beraksi hambar. Di barisan pertahanan sebagai contoh, kudrat A. Victor juga yang ditagih selaku pemain utama ketika mengimbangi asakan pehak lawan.

Sampai bilakah kita mesti mengharapkan sumbangan pemain veteran tersebut? Apa sudah jadi dengan pemain pertahanan import tempatan yang sebelum ini kelihatan begitu menyerlah ketika mewakili negeri sendiri tetapi kini apabila bersama Hijau Kuning, menjadi beku di bangku simpanan?

Begitu jugalah di posisi tengah dan serangan. Peranan yang dimainkan oleh anak-anak jati jauh lebih menyerlah. Bantuan bermakna yang sepatutnya dihulurkan oleh pemain import tempatan, tidak menjadi kenyataan.

Amatlah tidak adil jika kita ingin membandingkan kebolehan mereka (pemain import tempatan) dengan Huggins, Nelson atau pun Marlon. Namun jika dikaji, taraf permainan mereka jauh lebih rendah dari kualiti persembahan anak-anak negeri. Sindrom sebegitu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Catatan ini bukanlah bertujuan untuk menghentam sesiapa, tetapi anggaplah sebagai satu perangsang khususnya kepada pemain import tempatan agar berusaha bersungguh-sungguh untuk membalas segala kepercayaan Azrai terhadap mereka. Ayuh, jika anda (pemain import tempatan) tidak memulakannya sekarang, bila lagi?

Perjalanan liga sebenarnya masih panjang.

Pada hemat saya untuk mempertahankan Piala Liga yang dimenangi 2 musim berturut-turut bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi tidak pula mustahil. Bagi menggapai impian tersebut, kita tidak perlulah mengharapkan pasukan itu kalah, atau pasukan ini tidak menang. Kita mestilah berdiri di atas kaki sendiri, di atas keupayaan sendiri.

Apa yang lebih penting ialah untuk mencapai kejayaan, Sang Kenari mestilah bersiap sedia sepanjang masa untuk menghadapi segala bentuk rintangan dengan kibaran semangat yang berkobar-kobar. Ingat, kejayaan sekali-kali tidak akan bertandang jika kita tidak membuka pintu perjuangan.

Sabtu nanti Hijau Kuning akan terus berjuang. Hijau Kuning akan melayani kunjungan UPB Myteam untuk melengkapi perlawanan pertama pusingan ke dua Piala FA.

Saya ingin bersikap realistik. Dalam iklim yang tidak menentu ini, kemenangan yang dicapai (jika mampu dicapai) adalah sudah memadai, tanpa mengambilkira faktor jaringan yang terhasil.

UPB Myteam tentunya sudah mengkaji corak permainan kita, walaupun pada pertembungan liga sebelum ini mereka tewas. Sabtu nanti jika kita mampu membolosi gawang lawan dengan jumlah gol yang selesa, itu adalah satu kredit. Tetapi ingat, mereka hanya tewas tipis sebelum ini. Dan ingat, mereka telah mengalahkan Selangor selepas itu.

Menjelang pertarungan tersebut, apa yang kita semua harapkan adalah agar mutu persembahan anak-anak buah Azrai akan kembali menyerlah seperti dahulu.

Kita sebenarnya rindu untuk menyaksikan hantaran silang yang mengelirukan. Kita rindu untuk melihat bola yang dirembat menerjah menggegar jaring pasukan lawan. Kita rindu untuk menonton anak-anak watan serta pemain import tempatan berganding bahu untuk melakar kejayaan demi kejayaan.

Ayuh, lakukanlah Hijau Kuning!

Selamat Berjuang

-abracadabra HKC-

No comments:

Post a Comment