09 October 2009

TAHNIAH Universiti Malaya Ku....

THES telah mengeluarkan ranking terbaharu 200 universiti terbaik di dunia.Nyata, Malaysia berbangga dengan kedudukannya di tangga 180 terbaik dunia melalui Universiti Malaya (UM).
Hal ini menunjukkan, UM terus memperbaharui kedudukannya sebagai universiti terbaik di Malaysia dan dunia. Kedudukan tersebut dibaiki sejak tahun 2007 dan konsisten hingga 2009. Buktinya pada tahun 2007 UM berada di anak tangga 246 terbaik dunia dan pada tahun 2008 menduduki tempat ke-230. Kini, UM terus memperbaharui kedudukan tersebut lantas tersenarai antara 200 universiti terbaik dunia. Malah, jika di senaraikan dalam kalangan Negara Asia, UM menduduki tempat ke-39 terbaik Asia.Kedudukan ini meletakkan Malaysia sebagai negara ke-8 di Asia yang mempunyai universiti terbaik dan cemerlang.

Berbanding pula dengan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), pada kali ini (2009), hanya layak berada di tangga 291 terbaik dunia.Fakta yang perlu diterima tentang kedudukan ini adalah, UKM jauh ketinggalan daripada UM melewati 111 universiti lain(jurang antara UM dan UKM).Lebih malang lagi, kedudukan UKM dalam penilaian THES menunjukkan universiti ini merosot dari tahun sebelumnya (2008), yang berkedudukan 250 terbaik dunia. Jelaslah, UKM langsung tidak tersenarai dalam 200 universiti terbaik dunia sebaliknya terus corot.

Walau bagaimanapun, UKM masih boleh berbangga kerana mengepalai senarai universiti di Malaysia yang gagal tersenarai sebagai 200 terbaik dunia berdasarkan penilaian THES.Universiti yang berada di belakang UKM ialah Universiti Sains Malaysia (USM atau lebih dibanggakan dengan nama APEX Universiti).USM menduduki senarai ke-314 terbaik dunia diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tangga 320 dan Universiti Putra Malaysia (UPM), yang berkedudukan ke-345.

Menyentuh tentang prestasi USM, kedudukannya terus merosot sejak tahun 2006 hingga 2009. USM terus jatuh dari tahun ke tahun; 2006(277),2007(307),2008(313),2009(314).Inikah universiti APEX yang dibanggakan?

Segala fakta ini perlu diterima dan diperhalusi sebagai kayu ukur tentang ketrampilan universiti-universiti Malaysia di peringkat global. Kepada UM, tahniah kerana menyedari akan kejatuhannya sebelum ini dengan berusaha memperbaiki kedudukan tersebut untuk berada pada tahap yang boleh dibanggakan kali ini. Mahu tidak mahu, terima ataupun tidak, UKM,USM,UTM, dan UPM serta universiti lain di Malaysia, patut mencontohi UM.

Tuntasnya, UM terus menjadi universiti perdana dan terunggul negara secara realiti pada hari ini dan bukan sekadar bersandar pada gelaran universiti tertua negara. Layaknya, UM yang tertua dan terunggul dengan mengetuai barisan universiti lain di Malaysia. Namun, untuk semua universiti di Malaysia, teruslah berusaha meningkatkan kualiti kampus masing-masing agar kita tersenarai dalam 200 terbaik dunia untuk masa hadapan. UM, jangan berpuas hati dengan apa yang diraih pada kali ini sebaliknya perlu lebih sedar ruang akan kedudukannya yang perlu terus dibaiki kerana pernah berada pada tahap yang lebih baik sebelum ini; tahun 2004(89 terbaik dunia).

Secara ringkas, di bawah adalah kedudukan 5 universiti terbaik Malaysia:

1. UNIVERSITI MALAYA
2. Universiti Kebangsaan Malaysia
3. Universiti Sains Malaysia
4. Universiti Teknologi Malaysia
5. Universiti Putra Malaysia

Dipetik daripada blog sahabat aku ==> http://malaikatdjendela.blogspot.com

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete