DRAF SURAT PERLETAKKAN JAWATAN AZRAAI SEBAGAI JURULATIH KEDAH
15 OKTOBER 2009
Assalamualaikum & Salam Sejahtera kepada semua sahabat-sahabat yang dihormati,
Dalam keberkatan Syawal ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri & Maaf Zahir Batin.
Berat untuk saya nyatakan,tetapi setelah sekian lama bersabar. Kini sudah tiba masanya untuk saya bertindak mengikut naluri saya.
Untuk pengetahuan semua, izinkan berkongsi sedikit maklumat atau sejarah bagaimana kehadiran saya ke jawatan Ketua Jurulatih Bolasepak Negeri Kedah Darulaman. Saya masih ingat lagi pada petang hari Rabu, tanggal 18hb Ogos 2004,dimana saya dijemput oleh Bapa Pembangunan Bolasepak Negeri Kedah,Allahyarham Dato` Ahmad Basri Mohd Akil untuk berbincang berkenaan kepincangan bolasepak Skuad Hijau Kuning ketika itu dan seterusnya diberi cabaran getir iaitu untuk mengambil alih tugas jurulatih Kedah yang pada masa itu disandang Jurulatih kelahiran Brazil, Miradhinha . Keadaan pasukan ketika itu berada di paras yang cukup mengecewakan.
Dari perbincangan itu ,tidak dapat dinafikan Allahyarham sememangnya seorang yang mempunyai wawasan dan pemikiran dinamik dalam usaha memertabatkan kembali bolasepak Kedah.
Sehubungan dengan itu, hasil dari perbincangan tersebut,Kami meletakkan Matlamat utama pasukan Kedah yang wajib dicapai adalah kembali memacu Skuad Hijau Kuning muncul diantara pasukan elite dalam kancah bolasepak Malaysia.
Saya juga disarankan oleh arwah sebagai Ketua Jurulatih bagi menggantikan Mirandinha. Berbekalkan semangat dalam diri dan sokongan serta dorongan allahyarham,saya menyahut cabaran tersebut.Antara garis panduan untuk saya berkhidmat adalah ;
• Saya wajib komited 100% untuk bolasepak negeri tercinta
• Memertabatkan bolasepak Negeri
• Setia pada Negeri
• Setia pada Sultan
• Setia pada Pasukan.
• Meletakkan sasaran awal,Kalau boleh cuba sedaya upaya untuk mencapai kejayaan terbaik dalam sukan bolasepak menjelang Jubli Emas Pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Kedah Darulaman.
Bagi memenuhi matlamat tersebut,Perancangan Program Pembangunan jangka masa 5 tahun telah dicetuskan oleh arwah Dato`.Bermula saat itu kita terus membina pasukan merujuk kepada acuan mantap yang telah ditetapkan.
Alhamdulillah...berkat kesungguhan dan keyakinan,kita berjaya mencapai matlamat kita dengan cukup cemerlang dalam jangkamasa setahun lebih awal dari perancangan.
Antara detik gemilang yang menghangatkan kembali sambutan peminat seluruh negeri keatas skuad Kenari adalah :
• Menjuarai Liga Perdana pada tahun 2006. Kembali ke Liga Super 2007
• 2007 Menjuarai Liga Super
• 2007 Menjuarai Piala FA
• 2007 menjuarai Piala Malaysia
• 2007 KEDAH menjadi pasukan pertama di Malaysia yang menjuarai Liga Super,Piala FA dan Piala Malaysia.
• Musim 2007 Menang hampir keseluruhan Anugerah Pemain terbaik dalam majoriti kategori dan juga Anugerah Jurulatih Terbaik
• 2007 – hampir separuh pemain dalam skuad dipanggil menyertai skuad Kebangsaan
• 2008 Menjuarai Liga Super
• 2008 Menjuarai Piala FA
• 2008 menjuarai Piala Malaysia
• 2008 sekali lagi terpahat dalam sejarah bolasepak Malaysia,KEDAH menjadi pasukan pertama yang muncul pemenang double treble.Begitu juga penghormatan khas untuk pemain apabila menang lagi dalam pencalonan categeri pemain terbaik dalam banyak posisi dan anugerah Jurulatih Terbaik 2 tahun turut-turut.
• Stadium Darulaman kembali 'full house'
• Pada masa yang sama kita mewakili Malaysia dalam kancah AFC selama 2 musim berturut-turut
Itulah sejarah yang telah saya lakarkan.
Saya rasa kita telah mencapai matlamat kita dengan cukup cemerlang.
Bagi seluruh peminat dan penyokong skuad Hijau kuning,negeri Kedah yang tiada banyak hiburan....bolasepak ada lah sukan no.1 untuk mereka.Sukan yang menyatukan semua rakyat negeri tercinta.
Saya amat bersyukur,dan cukup teruja apabila 'matlamat' yang digariskan sebelum ini telah disempurnakan dan perkara ini telah membuatkan semua rakyat Kedah serta pencinta sukan ini turut merasa bangga dengan pencapaian cukup hebat dalam jangkamasa 2 tahun berturut-turut.
Kebangkitan semangat Hijau Kuning dapat dilihat di seluruh pelusok negeri.Saya begitu bangga dan terharu apabila bendera hujau kuning kembali berkibar megah.....teringat lagu keramat nukilan Arwah Dato`yang kembali dan terus bergema.
Sayang seribu kali sayang, episod gemilang ini tidak mampu bertahan lama gara-gara perubahan pengurusan KFA yg dilihat kurang komited dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Setelah kita mengharungi musim 2009 ,Kedah selaku juara bertahan kesemua Piala yang dipertandingkan, hanya menduduki tempat ke 3 dalam carta Liga Super dengan habuan wang tunai RM150,000.00 .
Episod Duka terus berlaku dalam 2009
Kita menghadapi Pertandingan Piala Malaysia 2009 pada bulan September.,Semua Pasukan bertanding dibenarkan mendapat pemain pinjaman sebanyak 3 orang.Sayang sekali cadangan saya tak jadi kenyataan gara-gara sikap KFA yang tak serious dalam mendapatkan pemain Haris Safwan dari T Team Terengganu.Pemain tersebut telah terlebih dahulu menghubungi saya untuk membolehkan beliau menyarung jersi Kedah didalam kempen kali ini.Apa bila didesak...komen pihak KFA dengan acuh tidak acuh menyatakan CUKUPLAH DENGAN APA YANG ADA....
Sebagai seorang Jurulatih Professional saya tahu kelemahan dan kekuatan pasukan...jadi menjelang Piala Malaysia saya rasa pasukan kita perlu menambah kekuatan di barisan serangan.(itu pun sebelum Khyril Muhymeen Zambri menjalani pembedahan lutut ).Masaalah kecederaan pemain posisi serangan seperti Samransak (operation lutut),Fadly Baharum (operation lutut dan ankle) dan pemain pertahanan kental V Thirumurugan(operation ankle) amat merencatkan persiapan pasukan dalam kempen kali ini kerana kita sedia maklum banyak pemain utama kita mengalami kecederaan .
Apapun,dengan apa yang ada seluruh Pemain tetap berjuang dengan penuh semangat dalam setiap perlawanan.Tetapi nasib tak menyebelahi kita....kalah dengan jaringan tipis walaupun pada dasarnya kita menguasai permainan.
I am not a magician,saya cuma seorang manusia biasa.Seperti seorang tukang masak....jika dibekalkan kangkong,maka lauk kangkong lah yang akan saya masak.Mana mungkin kangkong bertukar menjadi spagethi !
Dalam keadaan sedemikian,Terus terang saya akui,KFA cakap tak serupa bikin.Saya bukan mahu mengalah atau lepas tangan,tetapi prinsip perjuangan saya dalam bolasepak tidak mendapat sokongan penuh dari KFA,ini menjejaskan persiapan pasukan saya.Saya tak dapat menjalankan tugas saya dengan tersusun,teliti dan mengikut perancangan awal saya.
Jadi cukuplah setakat itu,dengan berat hati…ada baik nya saya berundur dari jawatan Ketua Jurulatih Bolasepak Negeri Kedah Darulaman untuk memberi pada laluan orang lain.
Apa sekali pun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tak terhingga pada semua peminat-peminat bolasepak Negeri Kedah yang telah menyokong pasukan negeri tercinta ketika saya melaksanakan tugas selaku Ketua Jurulatih.Saya amat berbangga apabila dapat berkhidmat untuk anda semua dan membuat anda semua rasa teruja dan berbangga sebagai rakyat Negeri Kedah Darulaman.
Sekian
"BIAR JASA JADI KENANGAN"
Saya yang ikhlas,
Mohd Azraai Khor
==>HKC<=
No comments:
Post a Comment